Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Lebih 150 mangsa di Kampung Baroh Pial, di sini, diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang selepas terperangkap akibat banjir yang melanda awal pagi tadi.

Kesemua mangsa meluahkan rasa bersyukur dan lega selepas beberapa jam berhadapan dengan ketakutan apabila penempatan mereka digenangi banjir dengan mendadak susulan hujan lebat semalam.

Mangsa, Rosilawani Arifin, 40, berkata dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan beberapa helai baju kerana kebiasaanya air hanya memenuhi halaman rumah.

"Namun begitu, kali ini banjir luar biasa, selain naik dengan mendadak ia juga berada pada paras yang tinggi. Di dalam rumah, air dinaiki separas 0.4 meter manakala bahagian halaman lebih 1.5 meter

"Saya terpaksa meninggalkan rumah dengan barangan yang belum sempat dikemas sepenuhnya untuk menyelamatkan diri sebaik melihat kedatangan lori bomba.

"Melihat air mendadak adalah suatu pengalaman yang menakutkan, jika tiada pihak bomba saya sendiri tidak tahu macam mana cara nak keluar dari kawasan rumah," katanya ketika ditemui selepas diselamatkan anggota bomba di Kampung Kubur Tok Mekong, di sini, hari ini.

Sementara itu, Che Musa Mat Yusuf, 68, berkata surau yang dijadikan tempat berteduh setiap kali bah juga turut digenangi air menyebabkan dia dan tujuh keluarga lain perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan

"Saya segera menelefon bomba selepas melihat air naik mendadak pada awal pagi tadi, tambahan pula jalan keluar terputus hubungan susulan digenangi hampir satu meter.

"Banjir kali lebih besar daripada Februari lalu, namun saya berharap agar air segera surut kerana bimbang keadaan rumah dan harta benda yang ditenggelami banjir, "katanya.

Tinjauan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan mendapati majoriti kediaman penduduk di kampung Baroh Pial digenangi air malah ada yang hanya tinggal bumbung saja.

Turut membantu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 2:06 PM
Penduduk meredah banjir untuk menyelamatkan barang-barang selepas halaman rumahnya dinaiki air di Kampung Kubang Kual ke Jalan Kampung Bukit Tandak. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Penduduk meredah banjir untuk menyelamatkan barang-barang selepas halaman rumahnya dinaiki air di Kampung Kubang Kual ke Jalan Kampung Bukit Tandak. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR