KHEMAH sempena konvokesyen dan kemudahan di UTHM rosak akibat dibadai ribut. FOTO Ihsan Pembaca
KHEMAH sempena konvokesyen dan kemudahan di UTHM rosak akibat dibadai ribut. FOTO Ihsan Pembaca
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Lebih 20 khemah rosak dan bumbung zink tercabut di beberapa bangunan di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat akibat dilanda ribut di sini, petang tadi.

Kejadian ribut dan hujan lebat melanda kira-kira satu jam pada 4 petang itu menyebabkan bumbung di beberapa bangunan termasuk di perpustakaan, fakulti dan fasiliti universiti berkenaan turut tercabut.

Tinjauan mendapati khemah yang dipasang di sekitar universiti berkenaan bagi persediaan istiadat konvokesyen pada hujung minggu ini turut rosak.

Kebanyakan khemah yang rosak adalah khemah peniaga dan khemah untuk pengunjung pesta konvokesyen universiti berkenaan.

Terdapat juga pokok-pokok besar tercabut sehingga tumbang dan menghempap beberapa kereta dan motosikal dipercayai milik penuntut dan kakitangan universiti berkenaan.

Peniaga, Mohd Azman Ali, 45, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja tiba di tapak khemah berkenaan untuk membuat persediaan berniaga.

"Saya sampai ke kawasan berkenaan kira-kira 3 petang. Datang untuk meninjau khemah yang disewa untuk mula berniaga pada hujung minggu ini.

"Tidak lama selepas itu, keadaan cuaca tiba-tiba gelap dengan awan hitam kemudian hujan turun begitu lebat. Hampir 15 minit hujan lebat, tiba-tiba angin kencang serta ribut datang dengan cepat menyebabkan khemah di kawasan sekitar tumbang dan rosak," katanya.

Menurut Azman, keadaan jadi kelam-kabut dan semua orang di kawasan berkenaan bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri ke kawasan selamat.

"Alhamdulillah, nasib baik saya selamat dan tidak ada peniaga atau orang awam yang tercedera dalam kejadian berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 10:25 PM