Zatul Iffah Zolkiply


SEBANYAK 40 khemah peniaga di tapak ekspo di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu rosak dalam kejadian hujan lebat dan ribut pagi ini.

Kejadian 11 pagi itu mengakibatkan barangan jualan seperti pakaian, kasut, beg, alat permainan kanak-kanak dan barangan makanan rosak.

Peniaga kasut, Z Danial Faiz Zulkafli, 27, berkata, dia bersama rakannya datang dari Kuala Lumpur untuk berniaga di situ, dan tidur di khemah pada waktu malam.

"Ketika tidur, kami dikejutkan dengan kejadian pertama angin kencang pada 5 pagi diikuti kejadian seterusnya 6 pagi.

"Ketika itu ada besi khemah yang sudah tercabut dan nyaris terkena muka ketika kami tidur.

"Namun, kejadian terburuk pada 11 pagi tadi yang bukan saja menyebabkan khemah kami ranap dan barang jualan rosak tetapi pintu lori kami juga tercabut dipukul ribut," katanya.

Peniaga tudung, Sharifah Abdullah, 40, berkata, dia terkejut melihat khemah jualannya roboh sekali gus menyebabkan pelbagai tudung yang dijualnya rosak termasuk ada antaranya terpaksa dibuang.

Katanya, dia hanya tahu mengenai kejadian itu selepas dihubungi rakannya pada 11.30 pagi memaklumkan khemah jualan ranap dipukul ribut.

"Saya sedih apabila melihat habis semua barangan jualan rosak dan khemah saya tercampak jauh.

"Malah, sebahagiannya tidak boleh dijual lagi kerana dibasahi hujan dan kotor. Kami sepatutnya mula berniaga 2 petang ini tetapi kini terpaksa mengemaskan semua barangan dan tidak boleh meneruskan perniagaan buat masa ini," katanya.

Katanya, dia bersama peniaga lain mula berniaga di tapak ekspo yang dibuka sempena cuti sekolah dengan kadar sewa lebih RM2,000 untuk dua minggu.

"Kami sepatutnya berniaga dua minggu saja tetapi penganjur menyambung 10 hari lagi tetapi nampaknya kami terpaksa mengemaskan barangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 6:18 PM
Keadaan khemah peniaga dan barangan jualan yang rosak dipukul ribut di Pantai Batu Buruk. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Keadaan khemah peniaga dan barangan jualan yang rosak dipukul ribut di Pantai Batu Buruk. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak