FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Oleh Azma Razana Johari


Georgetown: Sekurang-kurangnya enam rumah di Permatang Kuang, Kepala Batas, dekat sini, rosak manakala berpuluh pokok tumbang dalam kejadian ribut, sekitar 6.30 petang, hari ini.

Ribut dan hujan lebat kira-kira dua jam itu turut menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah antaranya di Bandar Sunway, Seberang Jaya dan Butterworth.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Permatang Kuang, Zulkifli Ayob, berkata angin kencang itu menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin selain bekalan elektrik terputus.

“Kesemua enam keluarga terbabit dalam kejadian ribut itu dipindahkan sementara ke rumah saudara dan jiran,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Antara laluan utama yang terjejas ialah Lebuh Raya Kulim Butterworth (BKE) berhampiran Jalan Jelawat dan bulatan Seberang Jaya.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima beberapa laporan kejadian pokok tumbang di Permatang Tok Jaya, Sungai Dua dan berhampiran Taman Senangin, Telok Air Tawar.

"Dalam dua kejadian itu pokok yang tumbang melintangi jalan sekali gus menghalan laluan dari kedua-dua arah.

"Anggota yang dikejarkan ke lokasi kejadian kemudian melakukan kerja memotong polok dan membersihkan laluan berkenaan," katanya.

Sementara itu, sebanyak 30 gerai pasar malam Permatang Buloh rosak dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang di Kepala Batas, 6.30 petang tadi.

Peniaga pasar malam Mohd Zamri Wan Ishak, 43, berkata angin kencang dan hujan lebat yang melanda tida-tiba menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut.

"Ketika kejadian saya sedang menyusun makanan yang dijualnya di atas meja dan menunggu pelanggan datang sebelum angin ribut tiba-tiba melanda.

"Saya tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat barang jualan, khemah dan peralatan lain diterbangkan ribut," katanya.

Seorang lagi peniaga yang enggan dikenali berkata, dia bersyukur kerana tidak kejadian itu tidak menyebakan sebarang kecederaan walaupun kerosakan dialami agak teruk.

"Ini adalah kejadian paling buruk pernah berlaku, habis semua peralatan berniaga terbang di bawa angin, peniaga juga mengambil keputusan menunggu sehingga hujan reda sebelum berkemas pulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:50 PM