Atap genting rumah Azizah berlubang selepas dipanah petir di Parit Raja, semalam. FOTO Alias Abd Rani
Atap genting rumah Azizah berlubang selepas dipanah petir di Parit Raja, semalam. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Bacaan ayat suci al-Quran menjadi penyelamat kepada pasangan suami isteri sejurus rumah mereka disambar petir ketika kejadian ribut sekitar Parit Raja, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang semalam, pasangan hanya mahu dikenali sebagai Azizah, 60, dan Mohamad, 60, tergamam sejurus

bumbung rumah dipanah petir hingga berlubang.

Menceritakan peristiwa itu, Azizah berkata, mereka berdua sedang berehat di dalam rumah sebelum dikejutkan dengan kejadian angin kuat serta hujan lebat.

"Kami lihat pokok hampir tumbang ditiup angin disusuli kilat dan petir. Tidak lama kemudian, satu dentuman kuat singgah di atas bumbung.

"Panahan itu menyebabkan air hujan mencurah-curah masuk ke ruang tamu dalam rumah. Kami berdua hanya mampu melihat sambil berdoa," katanya tadi,

Kejadian ribut itu berlaku kira-kira setengah jam dan berakhir pada jam 5.15 petang.

Bencana itu turut menyebabkan 13 premis perniagaan di MS Downtown Parit Raja di sini, rosak apabila bumbung dan tiang besi tercabut.

Sementara itu, pemilik kedai telefon, Mohd Fikri Md Yusof, 38, melalui detik cemas apabila terpaksa bersembunyi di bawah meja dalam premis susulan angin kuat dan hujan lebat.

"Saya cuba keluar namun gagal kerana pintu tidak boleh dibuka akibat ditolak angin.

"Dalam keadaan kelam-kabut, saya tiada pilihan dan terpaksa bersembunyi bawah meja kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Bagi peniaga pakaian terpakai, Hanafiah Hasan, 40, dia mendakwa kerugian sekitar RM45,000 disebabkan bumbung premis tercabut serta cermin kedainya pecah.

"Kerosakan banyak kepada kedai, barang niaga pula dibasahi hujan. Ketika itu, saya tiada di kedai dan hanya mendapat maklumat mengenai kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 3:58 PM