Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.
Oleh Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis Selangor menerima 442 laporan berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula 5 November hingga semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sebanyak 86 kertas siasatan sudah dibuka pihaknya setakat ini.

"Pada 20 November, Polis Selangor menerima sebanyak 14 laporan berhubung PRU-15 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan laporan polis yang diterima mulai 5 hingga 20 November adalah sebanyak 442 laporan dengan sebanyak 86 kertas siasatan dibuka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arjunaidi berkata, dalam tempoh pasca PRU, polis menasihatkan orang ramai agar terus menghormati undang-undang serta tidak cuba untuk menimbulkan sebarang perkara yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

"Untuk tujuan tersebut, pelbagai elemen sudah digerakkan bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terjamin," katanya.

Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengancam keselamatan negara dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 1:31 PM