Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Polis Selangor menahan 135 kaki judi yang terbabit dengan pertaruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 menerusi Op Soga bermula 19 November hingga semalam di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tangkapan membabitkan 128 warga tempatan dan tujuh warga asing menerusi 119 serbuan yang dijalankan.

Menurutnya, suspek yang ditahan itu membabitkan 132 lelaki dan tiga perempuan pelbagai peringkat umur, selain merampas enam komputer, tiga laptop, 193 telefon bimbit dan wang tunai lebih RM264,000.

"Setakat ini, seramai 29 dituduh di mahkamah, 87 kertas siasatan masih disiasat dan tiga diklasifikasikan sebagai tiada tindakan selanjutnya (NFA).

"Modus operandi mereka adalah bergerak secara individu dengan pertaruhan dilakukan secara elektronik," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Arjunaidi berkata, polis juga mempercayai sindiket itu membabitkan 'bookie' dari luar negara yang menawarkan pertaruhan tinggi.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 5:00 PM
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR