Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. FOTO IHSAN IPK SELANGOR
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. FOTO IHSAN IPK SELANGOR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor masih meneliti semua laporan dan keterangan berhubung kes kematian seorang lelaki yang juga suspek kes tetak bayi perempuan berusia 20 bulan di Kuala Selangor, Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya kini masih meneruskan siasatan terhadap kedua-dua kes secara terperinci.

"Kita ada dua kes, satu kes bayi itu maut ditetak suspek dan kedua kes kematian suspek berkenaan, kedua-dua kes ini kita jalankan siasatan.

"Polis masih lagi meneliti laporan yang ada sebab kes ini agak mengelirukan dan selepas itu kita akan bawa kertas siasatan ini kepada pihak Pendakwa Raya," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Arjunaidi berkata, polis sudah mengambil keterangan semua pihak berkaitan namun setakat ini tiada tangkapan dibuat.

"Kita dimaklumkan kematian disebabkan kecederaan dialami suspek yang mana masa kecederaan itu dipercayai melebihi tiga jam sebelum kematian.

"Maklumat ini juga kita perlu teliti terlebih dahulu, sebab itu kita tidak boleh terus buat kesimpulan terhadap laporan itu.

"Polis sudah merakamkan semua kenyataan mereka yang berkenaan tetapi belum membuat sebarang tangkapan sebab kes ini menjadi agak rumit kerana suspek juga menjadi mangsa," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor menerima panggilan mengenai insiden pergaduhan keluarga di Kampung Parit Mahang, Jeram dipercayai berpunca isu kewangan.

Dalam kejadian itu, bayi berkenaan maut ditetak suspek yang juga bapa saudaranya malah ibu mangsa juga mengalami kecederaan.

Polis menahan suspek di lokasi kejadian dan merampas sebilah parang panjang, ketika tangkapan itu, suspek didapati mengalami kecederaan dipercayai akibat pergelutan antara ahli keluarga yang cuba menahannya sebelum polis tiba.

Suspek berumur 27 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang selepas didapati lemah ketika dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 4:03 PM