Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (empat dari kanan) beramah mesra bersama pesara, Sarjan Azmi Abdul Rani (berkerusi roda) ketika meninjau pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di bawah Parlimen Shah Alam (P108) menjalankan tanggungjawab untuk pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). FOTO FAIZ ANUAR

Norzamira Che Noh

SHAH ALAM: Polis Selangor menerima 35 laporan dan satu kertas siasatan dibuka berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan laporan yang diterima mulai 5 November hingga semalam adalah 354 laporan polis dengan 27 kertas siasatan sudah dibuka.

Katanya, enam individu juga berjaya ditangkap dipercayai terbabit dalam kes berkaitan PRU-15.

"Bagi ceramah dan kempen pula, sebanyak 94 ceramah dan 191 kempen berpermit sudah diadakan oleh parti-parti yang bertanding, semalam.

"Jumlah keseluruhan kempen dan ceramah berpermit yang diadakan sepanjang tempoh dari 5 November hingga semalam adalah sebanyak 3,573," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, rakyat negeri ini dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan diberikan oleh pihak berkuasa bagi memastikan proses pengundian hari ini berjalan lancar.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan terus bersikap matang dan hormat-menghormati serta elakkan daripada melakukan sebarang perbuatan atau provokasi yang boleh mencetuskan insiden tidak diingini kerana ia boleh mengganggu gugat keselamatan serta ketenteraman awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 10:07 AM