GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor merekodkan sebanyak 290 laporan polis membabitkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sejak hari penamaan calon diadakan 5 November lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ini termasuk 38 laporan polis diterima membabitkan empat kertas siasatan baru dibuka semalam.

"Sehingga kini, sebanyak 23 kertas siasatan dibuka dengan tangkapan keseluruhan seramai lima individu," katanya semalam.

Arjunaidi juga berkata, sebanyak 112 ceramah dan 124 kempen memiliki permit diadakan oleh parti yang bertanding.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kempen dan ceramah diadakan sejak 5 November lalu adalah sebanyak 3,167.

"Bagi memastikan setiap kempen ceramah diadakan mematuhi undang-undang ditetapkan, polis Selangor juga memantau setiap lokasi kempen dan ceramah berkenaan," katanya.

Beliau juga menasihatkan calon yang bertanding mahupun masyarakat sentiasa menghormati dan mematuhi lunas undang-undang ditetapkan sepanjang PRU-15 ini berlangsung.

"Elakkan daripada membuat sebarang provokasi dan perkara yang boleh menimbulkan insiden tidak diingini sekaligus boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 5:04 PM