TENGKU Zafrul bergambar bersama persatuan penduduk Puncak Alam pada majlis penutup karnival sukan antara fasa 2022 (SUKAF). FOTO Genes Gulitah
TENGKU Zafrul bergambar bersama persatuan penduduk Puncak Alam pada majlis penutup karnival sukan antara fasa 2022 (SUKAF). FOTO Genes Gulitah
Raja Noraina Raja Rahim

Image

Kuala Selangor: "Siapa yang akan jadi Menteri Kewangan dan menteri-menteri lain selepas ini bergantung kepada keputusan mutlak Perdana Menteri," kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) itu berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kemenangan parti.

Katanya, sekiranya dipilih menjadi Ahli Parlimen, beliau bersedia memastikan peruntukan di Kuala Selangor akan disalurkan dengan baik seperti dilakukan ketika menerajui Kementerian Kewangan.

"Apa kita buat di Kementerian Kewangan bukan saja memantau pengeluaran itu dibuat kepada agensi berkaitan, tapi kita juga membuat pemantauan duit itu sampai kepada rakyat.

"Langkah sama juga akan dilakukan di sini (Kuala Selangor) yang mana setiap minggu kita akan bentangkan laporan apa sudah dilakukan, ke mana duit pergi dan siapa yang mendapat manfaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan 'Walkabout' di sebuah pasar raya di Puncak Alam di sini, hari ini.

Mengenai tindakan calon pilihan raya yang membuat manifesto tetapi tidak ditunaikan selepas dipilih menjadi pemimpin, Tengku Zafrul berkata, beliau lebih fokus penyelesaian isu harian yang akan menjadi kayu ukur kepada pengundi.

"Bagi saya apa yang penting bukan janji itu tapi penyelesaian.

"Apabila kita turun padang, mereka (masyarakat) nak tahu boleh tak kita selesaikan masalah harian mereka seperti jalan berlubang, tiada lampu isyarat dan lampu jalan serta sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 6:00 PM