KHAIRY hadir di program Selangkah Ke Menara Gading dan Townhall Ikon Malaysia di UiTM Puncak Alam. FOTO Genes Gulitah
KHAIRY hadir di program Selangkah Ke Menara Gading dan Townhall Ikon Malaysia di UiTM Puncak Alam. FOTO Genes Gulitah
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Memang Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) betul. Kita tumpu kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekarang ini," kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ismail Sabri yang mengingatkan Umno supaya menumpukan sepenuh perhatian memenangi PRU-15 dan usah sibuk memikirkan soal pemilihan parti.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu berkata, pemilihan Umno tidak seharusnya dibincangkan sepanjang tempoh berkempen.

"Saya rasa itu satu saja daripada pelbagai soalan yang ditanya dalam temu bual (bersama stesen radio BFM) semalam. Jadi, saya jawablah.

"Tetapi saya tidak terlalu tumpu kepada isu itu," katanya pada sidang media selepas program Selangkah Ke Menara Gading bersama Ikon Malaysia dan Townhall Ikon Malaysia di Dewan 500, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Amanah Prihatin, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.

Pada masa sama, Khairy berkata, ketika ini rakyat mahu melihat calon muka baru yang ditampilkan BN pada PRU-15, 19 November ini.

"Orang nak melihat juga bahawa muka-muka baru dalam BN menandakan satu 'rejuvenation' dalam PRU-15. Itu saja," katanya.

Media hari ini melaporkan Ismail Sabri memaklumkan Umno mempunyai tempoh enam bulan selepas PRU-15 untuk mengadakan pemilihan parti seperti diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Naib Presiden Umno itu berkata, jika isu siapa bakal dipilih menjadi kepimpinan tertinggi parti dibangkitkan ketika ini, ia hanya menyebabkan perbalahan dalaman parti dan menyukarkan BN untuk menang PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 6:47 PM