Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: Barisan Nasional (BN) Perak memberi bayangan untuk mengetengahkan muka baharu khususnya golongan muda sebagai calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia selepas melihat kejayaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor lalu dengan mengetengahkan calon muda.

Menurutnya, tidak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dikekalkan kerana ada yang berkemungkinan perlu diganti dengan calon lain.

"Itu bergantung kepada keadaan (mengekalkan Adun ketika ini) sebab kita tiada jaminan sama ada yang sedang menjadi Adun akan terus kekal kerana kemungkinan ada yang terpaksa digantikan.

"Kita perlu mengambil contoh apabila berlaku di Melaka dan Johor kita perlu menonjolkan muka baharu khususnya orang muda," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Jentera BN PRU-15 Bahagian Parit di sini, malam tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria; Adun Belanja, Khairudin Abu Hanipah dan Adun Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Saarani yang juga Menteri Besar berkata, BN Perak juga sudah mula mendapatkan senarai cadangan nama calon daripada setiap bahagian yang akan mewakili parti itu pada PRU-15.

"Pada waktu sama kita perlu membuat kajian dan saringan daripada pihak berkaitan supaya calon yang kita pilih nanti adalah calon yang boleh memenangkan BN," katanya.

Ditanya petanda semboyan PRU-15 yang semakin hampir, beliau berkata, BN Perak sudah bersiap sedia untuk menghadapinya dan menyokong ia diadakan tahun ini.

Katanya, persiapan tidak dilakukan pada saat akhir untuk memastikan kejayaan BN dalam PRU-15 dengan pelancaran jentera bahagian sudah dilakukan sebagai persediaan awal.

"Hari ini pelancaran jentera bahagian keenam. Ada lagi (pelancaran jentera), kita akan terus setiap malam setiap hujung minggu sehingga (Parlimen) bubar," katanya.

Sementara itu, Mohd Nizar yang juga Pengerusi BN Bahagian Parit dan Ketua Umno Bahagian Parit, berkata, mereka sudah bersedia dan melakukan persiapan dengan komitmen ahli serta jentera parti bersama kompenen Umno, MCA dan MIC untuk menghadapi PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 9:29 AM