Khairy Jamaluddin hadir diprogram 'Selangkah Menara Gading dan Townhall ikon Malaysia yang dihadiri seramai 600 pelajar STPM negeri Selangor di UITM Puncak Alam.  FOTO Genes Gulitah.
Khairy Jamaluddin hadir diprogram 'Selangkah Menara Gading dan Townhall ikon Malaysia yang dihadiri seramai 600 pelajar STPM negeri Selangor di UITM Puncak Alam. FOTO Genes Gulitah.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Penyediaan 'laluan khas' bagi individu positif Covid-19 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak dapat dilaksanakan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy menegaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan pihak berkaitan sudah melalui pelbagai peringkat perbincangan.

"Kita tidak menyediakan lorong khas untuk pesakit positif Covid-19 di mana mengambil kira kekurangan sumber, ruang dan tenaga kerja.

"Manakala prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 Safe Election seperti yang diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah)," katanya ketika diminta mengulas kegelisahan pengundi tentang kemungkinan terpaksa membuang undi dengan individu yang dijangkiti virus itu.

Terdahulu, Khairy ditemui pada sidang media selepas program Selangkah Ke Menara Gading bersama Ikon Malaysia dan Townhall Ikon Malaysia di Dewan 500, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Amanah Prihatin Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, individu positif Covid-19 yang akan mengundi pada PRU-15 wajib memakai pelitup muka manakala pemakaiannya bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan pengundi positif Covid-19, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk perkhidmatan e-hailing, singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, selain perlu pulang segera selepas selesai mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 7:38 PM