DR Radzi Jidin. FOTO Arkib NSTP.
DR Radzi Jidin. FOTO Arkib NSTP.
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Datuk Dr Radzi Jidin kekal sebagai Ahli Parlimen Putrajaya susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan petisyen pilihan raya difailkan Naib Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim, bagi membantah kemenangan Radzi.

Keputusan dibuat Hakim Datuk Faizah Jamaludin, sekali gus membenarkan permohonan bantahan awal yang difailkan Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu terhadap petisyen berkenaan.

Faizah berkata, Ahmad Faisal gagal membuktikan wujud kegiatan rasuah membabitkan Radzi mengikut Seksyen 32 (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Saya juga mendapati petisyen itu defektif (cacat) kerana gagal mematuhi Peraturan 4 (1) (b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

"Dengan itu, petisyen berkenaan dibatalkan dan kos sebanyak RM20,000 perlu dibayar (Ahmad Faisal) kepada responden (Radzi)," katanya dalam prosiding kes itu menerusi aplikasi Zoom.

Turut hadir peguam, Yusfarizal Yusuff dan Datuk Mohd Hafarizam Harun, masing-masing mewakili Radzi serta Ahmad Faisal.

Ahmad Faisal yang juga pengundi di Parlimen sama memfailkan petisyen itu pada 26 Januari lalu, yang antara lain mendakwa ada bayaran RM150 diberikan oleh pihak calon Perikatan Nasional (PN) itu sebagai balasan mengundi Radzi pada PRU15.

Beliau mendakwa, bayaran itu diserahkan oleh pekerja PN kepada seorang lelaki dan pengundi di kawasan Parlimen sama, yang tersebar dalam kumpulan WhatsApp pada 4 Januari lalu memaklumkan pengundi luar menerima imbuhan.

Terdapat juga beberapa pengundi lain dikatakan diberikan wang demi untuk mendapatkan undi bagi pihak responden.

Pada PRU15, Radzi yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan berjaya merampas Parlimen Putrajaya daripada penyandang selama empat penggal, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Barisan Nasional (BN) dengan kelebihan 2,310 undi.

Beliau memperoleh 16,002 undi, manakala Tengku Adnan mendapat 13,692 undi.

Calon lain, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan) memperoleh 5,988 undi; Datuk Mohd Rosli Ramli (Parti Pejuang Tanah Air) mendapat 878 undi dan dua calon Bebas, Lim Fice Bee (20 undi) serta Samsudin Mohamad Fauzi (63 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 1:33 PM