PENGHIDAP strok, Mohd Radzi Berahim hadir  ke pusat mengundi Parlimen Hulu Langat di   SK Semenyih, di sini, bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi dalam  PRU-15. FOTO Redzuan Muharam
PENGHIDAP strok, Mohd Radzi Berahim hadir ke pusat mengundi Parlimen Hulu Langat di SK Semenyih, di sini, bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi dalam PRU-15. FOTO Redzuan Muharam
Redzuan Muharam


Semenyih: Masalah kesihatan bukan penghalang buat penghidap strok, Mohd Radzi Berahim untuk hadir ke pusat mengundi Parlimen Hulu Langat di Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih, di sini, hari ini, bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mohd Radzi, 56, tiba di pusat mengundi kira-kira 7.30 pagi sebelum dibantu petugas untuk masuk ke ruang menunggu dengan menaiki kerusi roda.

Menurut Mohd Radzi, dia tidak datang berseorangan, sebaliknya bersama anaknya yang turut hadir bagi mengundi.

"Ini kali kelima saya jalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Sejak diserang strok dua tahun lalu, saya tidak kuat berjalan tetapi gagahkan diri juga datang ke pusat mengundi pagi ini.

"Lagipun, peluang ini datang lima tahun sekali saja dan saya pula tidak pernah ketinggalan mengundi dalam PRU. Diharap undian saya menyumbang ke arah perubahan masa depan negara yang lebih baik," katanya yang menetap di Taman Sri Tanjung, di sini.

Parlimen Hulu Langat menyaksikan saingan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air ( Pejuang), Warisan dan calon Bebas.

Pada PRU-14, Parlimen Hulu Langat dimenangi Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH) dengan 49,004 undi menewaskan calon BN, Azman Ahmad yang memperoleh 23,580 undi dan calon Pas, Dr Che Rosli Che Mat (15,663 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 9:01 AM