TENGKU Adnan berbual bersama pengundi di Pusat Kejiranan Presint 16, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
TENGKU Adnan berbual bersama pengundi di Pusat Kejiranan Presint 16, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Irwan Shafrizan Ismail


Image

Putrajaya: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan yakin mendapat sokongan pengundi muda di Putrajaya yang sudah dianggapnya seperti cucu dan keluarga sendiri.

Calon Barisan Nasional (BN) P125 Putrajaya itu berkata, beliau sudah mengenali anak muda di sini sejak mereka kecil lagi bermula selepas memenangi kerusi pusat pentadbiran kerajaan itu pada 2004.

"Saya sayang anak-anak muda di Putrajaya ni. Saya kenal mereka sejak dari kecil dan mereka membesar di depan mata saya. Saya kenal mereka semua, macam keluarga dan cucu saya.

"Kalau tanya mereka pun pasti mereka akan kata kami macam keluarga. Saya amat mesra dengan mereka semua," katanya ketika ditemui selepas beramah mesra bersama penduduk di Medan Selera Presint 16, di sini hari ini.

Bendahari Umno itu berkata, hubungan rapat itu sudah lama terjalin dan beliau berharap ia dapat diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

"Malah ketika menjawat Menteri Wilayah Persekutuan, saya memperkenalkan V4Putrajaya iaitu sukarelawan anak muda berusia antara 15 hingga 17 tahun.

"Menyediakan pelbagai kursus, bantuan pendidikan dan sebagainya," katanya.

Ditanya sama ada undi18 jadi penentu berikutan saingan enam penjuru di Putrajaya, Tengku Adnan berkata, beliau tidak rasa ia jadi penentu sebaliknya undi itu akan pergi kepada dirinya.

Beliau juga memaklumkan tidak gerun dengan kehadiran dua calon bebas yang bertanding kerana ini negara demokrasi dan sesiapa pun berhak untuk bertanding.

"Saya bertanding dah empat kali dan melawan orang-orang besar termasuk Timbalan Presiden PKR, Naib Presiden Pas, Pengerusi Pas Wilayah dan PRU-14 lalu melawan profesor," katanya.

Pada PRU-15, Adnan berdepan dengan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin mewakili Perikatan Nasional (PN); Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, 45 dari Pakatan Harapan (PH); Datuk Rosli Ramli, 64, calon Pejuang serta dua calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi dan Lim Fice Bee dalam pertarungan enam penjuru.

Seramai 42,881 pengundi berdaftar layak mengundi bagi Parlimen Putrajaya pada PRU-15 yang mana 53 peratus daripadanya adalah anak muda berusia 18 hingga 39 tahun yang mewakili 25,415 pengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 6:20 PM