K.Premawathy dan  ibunya, S.Susiladevi  menjadi pengundi terawal apabila  tiba jam 6.45 pagi di pusat mengundi dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih, di sini. FOTO Redzuan Muharam
K.Premawathy dan ibunya, S.Susiladevi menjadi pengundi terawal apabila tiba jam 6.45 pagi di pusat mengundi dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih, di sini. FOTO Redzuan Muharam
Redzuan Muharam


Semenyih: Biarpun bekerja di Singapura, K Premawathy sanggup pulang ke tanah air bagi menjalankan tanggungjawabnya untuk mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), hari ini.

K Premawathy, 33, dan ibunya, S Susiladevi, 68, juga menjadi pengundi terawal apabila tiba jam 6.45 pagi tadi di pusat mengundi dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih, di sini, walaupun dengan berpayung kerana hujan.

Premawathy yang bekerja sebagai juru X-ray di Hospital Tan Tock Seng berkata, dia bertolak dari Singapura, jam 12 tengah malam tadi.

"Suami yang ambil saya di Johor Bahru dengan menaiki kereta untuk pulang mengundi di sini.

"Kami tiba jam 4 pagi dan singgah di rumah emak (di Taman Sri Tanjung, Semenyih) sebelum bersiap untuk ke sini.

"Ikutkan, saya belum tidur lagi namun tahan mata kerana mahu datang awal ke pusat mengundi supaya tidak sesak.

"Demi masa depan negara, saya sanggup ketepikan rasa penat," katanya yang hadir mengundi buat kali ketiga dalam PRU.

Sementara itu, ibunya, Susiladevi berkata, dia juga tidak sabar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Ini kali ke-10 saya mengundi dan walaupun cuaca hujan, saya bangun juga awal pagi untuk datang ke pusat mengundi.

"Sebagai anak Malaysia, saya perlu jalankan tanggungjawab ini," katanya.

Parlimen Hulu Langat menyaksikan saingan enam penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air ( Pejuang), Warisan dan calon Bebas.

Pada PRU-14, Parlimen Hulu Langat dimenangi Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH) dengan 49,004 undi menewaskan calon BN, Azman Ahmad yang memperoleh 23,580 undi dan calon Pas, Dr Che Rosli Che Mat (15,663 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 8:10 AM