CHUA ketika mendekati pengundi di Parlimen Kulai yang ditandinginya. FOTO Omar Ahmad.
CHUA ketika mendekati pengundi di Parlimen Kulai yang ditandinginya. FOTO Omar Ahmad.
Omar Ahmad


Kulai: Beberapa poster dan billboard yang memaparkan wajah calon Barisan Nasional (BN) Kulai, Chua Jian Boon di Kampung Baru Senai, di sini disimbah cat dan diconteng, malam tadi.

Chua, 29, berkata, beliau dimaklumkan perkara itu oleh pasukannya pada 9 pagi, sebelum wakilnya, Wong Pow Kyan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada 10 pagi.

Katanya, terdapat beberapa gegantung yang dipasang turut ditanggalkan.

"Saya rasa mereka yang melakukan perbuatan khianat ini mula sakit hati dan insiden ini saya andaikan bahawa pihak berkenaan risau dengan kehadiran anak muda seperti saya.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku, malah ii adalah laporan kelima yang pihak saya buat membabitkan insiden seumpamanya," katanya ketika ditemui semasa melawat mangsa banjir di Kampung Baru Sengkang di sini, hari ini.

Chua berkata, baki beberapa hari lagi tempoh berkempen tidak seharusnya digunakan dengan mengaibkan mana-mana calon bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya, calon muda itu berkata, semua pihak perlu mengamalkan politik matang dan memastikan proses demokrasi berjalan lancar.

"Ini cabaran saya. Bagaimanapun saya harap kalau mahu lawan, lawanlah cara yang betul... cara yang matang.

"Saya tahu di Kulai ini susah untuk saya menang tetapi sebagai orang muda, saya tetap bersemangat, saya tetap akan mencuba sehabis baik untuk PRU-15 ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow mengesahkan menerima laporan yang dibuat Ketua Bilik Gerakan Parti BN.

Katanya, laporan mendakwa bahan kempen calon BN P.163 iaitu papan iklan dan dua gegantung di tepi Jalan Seni berhampiran pekan Senai disembur cat hitam dengan perkataan 'rat'.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 4:33 PM