JKM ingin mengesan waris kepada bayi ini bagi tujuan siasatan selain menyediakan Laporan Pelindung. FOTO Ihsan JKM Johor
JKM ingin mengesan waris kepada bayi ini bagi tujuan siasatan selain menyediakan Laporan Pelindung. FOTO Ihsan JKM Johor
Mary Victoria Dass


PADA Ramadan ini, ramai pasangan suami isteri terbuka hati untuk menjadikan seorang bayi lelaki bermata bulat berusia 15 hari sebagai anak angkat, sekali gus menambah saham akhirat masing-masing.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai, Mohd Iskandar Abu Bakar berkata, bayi lelaki berkenaan ditemui di dalam kotak dipercayai ditinggalkan warisnya berhampiran kediaman penduduk di Kampung Jaya Sepakat, Senai, Kulai, 8 Mei lalu.

Beliau berkata, ketika ditemui, tubuh bayi berkenaan dililit kain yang masih basah dan terdapat kesan darah dipercayai ditinggalkan selepas dilahirkan.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya tidak menemui sebarang dokumen bersama bayi berkenaan.

Katanya, kanak-kanak berkenaan yang diselamatkan kemudian ditempatkan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai sehingga 22 Mei 2018.

“Hasil pemeriksaan kesihatan mendapati bayi berkenaan dalam keadaan baik.

“Bayi berkenaan kemudian ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Iskandar berkata, pihaknya mendapat kebenaran di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 untuk melakukan siaran akhbar daripada Mahkamah Bagi Kanak-kanak Kulai.

“Bayi itu menjadi perhatian ramai, namun JKM mematuhi prosedur ditetapkan.

“JKM ingin mengesan waris kepada bayi itu bagi tujuan siasatan selain menyediakan Laporan Pelindung.

“Orang awam atau waris yang mengenali kanak-kanak ini boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Kulai, ZunaizahMohd Yusuf di talian 07-6622990,” katanya menerusi siaran akhbar, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 2:39 PM