Seorang wanita terjatuh dari motosikal yang ditungangnya, selepas cubaan meragut rantai leher di Jalan Senai Utama 3/3 pada sabtu lalu. FOTO TULAR
Seorang wanita terjatuh dari motosikal yang ditungangnya, selepas cubaan meragut rantai leher di Jalan Senai Utama 3/3 pada sabtu lalu. FOTO TULAR
Omar Ahmad


Kulai: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila rantai lehernya cuba diragut penjenayah, ketika sedang menunggang motosikal di Jalan Senai Utama 3/3 di sini Sabtu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Wong Bor Yang berkata akibat kejadian itu mangsa terjatuh dan patah kaki kanan.

Katanya pihaknya menerima laporan tiga kejadian ragut berlaku tiga kali dalam tempoh enam bulan di kawasan Senai.

"Mangsa menceritakan kejadian malang menimpanya kepada saya, beliau pada ketika itu sedang menunggang motosikal dari Kampung Baru Senai ke Taman Senai Utama.

"Ketika mangsa tiba Jalan Senai Utama 3/3, secara tiba-tiba, penjenayah berniat untuk meragut rantai yang dipakainya di lehernya. Akibatnya mangsa terjatuh dari motor dan kaki kanannya patah, manakala penjenayah melarikan diri.

"Saya melawat melawat mangsa dan dimaklumkan beliau tidak dapat membuat laporan polis selepas kejadian kerana kecederaannya. Pejabat saya sudah menghubungi polis untuk datang ke rumah mangsa dan siapkan laporan.

"Saya menyeru polis dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh supaya penjenayah terbabit dapat ditangkap serta dibawa segera ke muka pengadilan, "katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee mengesahkan kejadian dan memaklumkan pihaknya sedang mengesan suspek.

Katanya kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang, semasa mangsa berumur 55 tahun menunggang motosikal.

"Mangsa didatangi suspek yang tidak dikenali dari arah belakang. Suspek cuba meragut rantai leher emas milik mangsa, namun tidak berjaya.

"Akibat kejadian tersebut mangsa mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan di hospital dan kini berada dalam keadaan stabil, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 1:52 PM