FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Empat lelaki ditahan susulan dipercayai terbabit dengan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau 'along' dengan mengugut Timbalan Pengerusi MCA Kulai, dekat sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata susulan aduan yang diterima pihaknya oleh mangsa yang juga Biro Pengaduan Awam MCA Johor pada 7 Oktober lalu, polis menjalankan empat serbuan berasingan di sekitar daerah ini.

Katanya, pada 27 Oktober lalu, jam 11.45 malam hingga 1 pagi, Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai membuat tiga serbuan sekitar Permas Jaya dan Taman Setia Indah, di sini.

"Serbuan itu dilakukan susulan pengadu mendakwa rumahnya disimbah cat dan ditampal notis ugutan disebabkan tindakannya banyak membantu mangsa kes membabitkan ah long.

"Hasil serbuan itu, tiga lelaki tempatan berjaya ditahan. Polis kemudiannya menjalankan tangkapan susulan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang juga dalang sindiket di kawasan Taman Abad, di sini, jam 2.45 petang, pada 31 Oktober lalu.

"Kesemua suspek berusia 18 hingga 34 tahun, selain semakan rekod lampau mendapati dua daripadanya mempunyai rekod atas kesalahan dadah," katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati, sindiket yang beroperasi sejak lebih setahun itu menawarkan pinjaman kepada pelanggan antara RM500 hingga RM15,000 dengan kadar faedah sehingga 30 peratus.

Katanya, hasil tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes ugutan jenayah dan simbah cat yang dilakukan kumpulan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, dalang sindiket berkenaan akan didakwa di Mahkamah Majistret Kulai jam 9 pagi, esok, manakala tiga yang lain dibebaskan.

"Bagi tahun ini, sebanyak 242 kes dilaporkan membabitkan ugutan along, daripada jumlah itu, sebanyak 75 kes berjaya diselesaikan dengan tangkapan serta tuduhan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, kediaman Timbalan Pengerusi MCA Kulai, Chua Jian Boon, disimbah cat oleh individu tidak dikenali, selain ditinggalkan nota ugutan dalam kejadian di Taman Putri, Kulai, kira-kira jam 11.15 malam, 7 Oktober lalu.

Chua berkata, pihaknya pernah menerima ugutan menerusi panggilan telefon daripada individu tidak dikenali susulan sidang media yang diadakan berkaitan seorang wanita menjadi mangsa sindiket along, pada 23 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 8:08 PM