Nor Fazlina Abdul Rahim

“Saya bertuah walaupun berbangsa Cina, namun kehadiran saya di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kota Lama tetap diterima rakyat sepanjang saya turun padang di kawasan berkenaan,” kata calon Barisan Nasional (BN), Chua Hock Kuan yang akan bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu, beliau yakin kelebihannya fasih berbahasa Melayu khususnya dialek Kelantan akan menarik pengundi Melayu di kawasan itu.

Anak kelahiran Kota Bharu berusia 37 tahun itu yang juga satu-satunya calon MCA di Kelantan berkata, kelebihannya itu menyebabkannya tidak kekok untuk bertemu serta beramah-mesra dengan pengundi.

“Malah, saya menganggap pencalonan saya di DUN Kota Lama pada PRU-14 satu penghargaan oleh parti. Saya akan manfaatkan peluang yang ada untuk terus bekerja keras,” katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu hari ini.

Chua berkata, dia bukan baharu di DUN Kota Lama sebaliknya sudah bertahun turun padang bertemu penduduk di kawasan berkenaan.

“Tumpuan saya selepas diumumkan calon semalam, saya akan turun padang lebih kerap bertemu pengundi. Tempoh berkempen selama 11 hari nanti ibarat fasa ‘ulang kaji’ memandangkan semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) saya sudah turun padang.

“Saya langsung tidak rasa terpinggir atau kekok untuk bertemu dengan pengundi khususnya orang Melayu kerana saya fasih dialek Kelantan. Malah, mereka juga kagum mendengar saya bercakap dialek Kelantan,” katanya.

Chua dijangka menentang Datuk Anuar Tan Abdullah dari PAS dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau antara 30 nama calon baharu PRU-14 yang diumumkan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 12:51 PM