ALWI Ibrahim. FOTO fail NSTP
ALWI Ibrahim. FOTO fail NSTP
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 135,970 teks al-Quran dan 5,299 bahan al-Quran menerusi operasi dilakukan bermula tahun lalu hingga Februari tahun ini dengan nilai rampasan RM430,337.73.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, rampasan dibuat pada 2,329 operasi dijalankan di seluruh negara membabitkan 10,021 premis.

Menurutnya, rampasan teks al-Quran pada tahun lalu berjumlah 2,242 manakala, pada tahun ini sehingga Februari membabitkan 133,728 termasuk 133,343 lembaran teks yang belum dijilidkan.

"Antara kesalahan yang sering dilakukan atau ditemui ialah Seksyen 5(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 iaitu mencetak teks al-Quran tanpa lesen; Seksyen 8(1) APTQ 1986 (import al-Quran tanpa kelulusan) dan Seksyen 14(1) 1986 (bahan al-Quran mengandungi kesilapan).

"KDN sentiasa peka dan prihatin terhadap pencetakan dan pengedaran bahan serta teks al-Quran yang boleh memudaratkan kesejahteraan rakyat. Justeru, usaha yang berterusan akan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alwi berkata, sekiranya masyarakat mendapati terdapat bahan atau teks al-Quran yang mengandungi kesalahan atau tidak mendapat perakuan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-quran (LPPPQ) KDN diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat melalui Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN di talian 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman web http://moha.spab.gov.my.

Berdasarkan APTQ 1986, KDN berperanan mengawal dan memastikan bahan serta teks al-Quran diterbit, dicetak, diimport dan diedar dalam negara tidak mengandungi kesilapan yang boleh menjejaskan al-Quran dan memastikan kesahihan serta mencegah penyelewengan bahan dan teks al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 5:43 PM