WAN Ahmad Dahlan Abdul Aziz. FOTO arkib NSTP
WAN Ahmad Dahlan Abdul Aziz. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap dua penerbitan bertajuk Gay is OK! A Christian Perspective dan Peichi.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, penerbitan Gay is OK! A Christian Perspective dilihat cuba mempromosikan budaya homoseksual dan melanggar sensitiviti agama dan budaya negara ini.

Menurut beliau, amalan hidup songsang jelas dilarang dan bertentangan dengan semua ajaran agama termasuk Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.

Katanya, penerbitan Peichi pula memuatkan kandungan berunsur lucah tidak bermoral yang bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan norma hidup masyarakat Malaysia yang menitikberatkan kesopanan.

"Perintah Larangan adalah melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 340 bertarikh 27 November 2020 dan Warta Kerajaan P.U.(A) 355 bertarikh 15 Disember 2020," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Warta Perintah Larangan adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di negara ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, mana-mana pihak adalah didapati bersalah sekiranya melanggar perintah penerbitan larangan seperti mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya.

Katanya, sekiranya disabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8(2) Akta 301.

"Orang ramai boleh membuat aduan sekiranya mendapati penerbitan itu masih diedarkan di pasaran," katanya.

Aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan, KDN di talian 03 - 88868047 atau faks 03 - 88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 7:18 PM