NASH (tiga dari kiri) dan Anuar (empat dari kanan) bertemu pengundi di Pasar Dengkil hari ini. FOTO Samadi Ahmad
NASH (tiga dari kiri) dan Anuar (empat dari kanan) bertemu pengundi di Pasar Dengkil hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Image

Sepang: Penyanyi rock terkenal, Datuk Nash dilihat turun padang membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Sepang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Nash atau nama sebenarnya, Jamaludin Elias menyatakan kesediaannya membantu calon BN, Anuar Basiran memenangi kerusi Parlimen Sepang.

Menurutnya, beliau terpanggil membantu BN kerana selama ini bukan hanya rakyat di Sepang menderita disebabkan ketidakstabilan politik malah seluruh negara turut terasa.

Katanya, beliau berharap usaha itu dapat menarik dan memberi keyakinan kepada rakyat kembali menyokong BN sewaktu hari pengundian pada 19 November ini.

"Kestabilan dan kemakmuran dalam moto BN sesuai untuk kita terjemahkan pada PRU-15 kerana rakyat sangat rindukan pemerintahan BN seperti dulu," katanya kepada pemberita selepas bersama calon BN bertemu pengundi di Pasar Dengkil, di sini, hari ini.

Turut hadir, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil yang juga Timbalan Ketua Umno Sepang, Shahrum Mohd Sharif.

Nash berkata, beliau yakin calon yang dipilih pimpinan parti pusat adalah wakil terbaik bagi BN dan berharap semuanya mencapai kemenangan.

"Selain di Sepang saya juga akan membantu calon BN berkempen di tempat kelahiran di Muar, Johor, di Baling, Kedah dan Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 6:02 PM