Adnan (kiri) menyampaikan anugerah kepada Nash (tengah) diperhatikan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Md Ishah Rahman semalam. Foto Mohd Amin Jalil
Adnan (kiri) menyampaikan anugerah kepada Nash (tengah) diperhatikan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Md Ishah Rahman semalam. Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Nilai: "Anugerah ini sangat bermakna kerana ia adalah satu pengiktirafan tidak mungkin dilupakan sejak berjuang dalam bidang seni lebih 40 tahun," kata penyanyi legenda, Nashrudin Elias atau lebih dikenali dengan Datuk Nash.

Nash, 65, menerima Anugerah Sumbangsih (Individu) daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa 2022/2023 (AKSIS 22/23) bertempat di Dewan Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, di sini, semalam.

Anugerah Sumbangsih terima atas pelbagai sumbangan dan idea dalam bidang seni persembahan di USIM melalui pelantikannya sebagai Karyawan Seni USIM sejak 2016.

Nash berkata, dia teruja menerima anugerah yang kali pertama diterima daripada universiti berprestij itu.

"Ini satu pencapaian bagi saya sebagai orang seni. Saya teruja kerana ini adalah pengiktirafan dari USIM sebagai menara gading yang berprestij di negara ini.

"Alhamdulillah, khidmat saya di universiti ini sejak 2016 dan hasil tunjuk ajar serba sedikit untuk kepentingan pelajar mendapat perhatian daripada pengurusan USIM," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu berkata, dia diberikan peluang mencurahkan ilmu dan pengalaman dengan memberi tunjuk ajar daripada pelbagai segi seni persembahan.

"Banyak aktiviti diadakan oleh USIM yang saya sertai termasuk dilaksanakan di luar negara seperti di Indonesia dan Thailand serta beberapa negara lain di rantau ini," katanya yang memaklumkan tugasnya di USIM masih berbaki dua tahun lagi iaitu sehingga tahun hadapan jika tidak disambung.

Nash berkata, pada peringkat awal pembabitannya sebagai Karyawan Seni USIM turut disertai artis lain termasuk Syed Indera Syed Omar atau Siso daripada Kumpulan Kopratasa dan komposer terkenal, Fauzi Marzuki.

Bagaimanapun, katanya, dia masih kekal hingga sekarang meneruskan khidmat di USIM, manakala artis lain sudah bertukar ganti.

Nash berkata, program besar terdekat yang akan disertainya ialah di Indonesia pada Mei depan membabitkan aktiviti pertukaran pelajar.

"Kesediaan saya memikul tanggungjawab sebagai Karyawan Seni USIM kerana menganggap ia sebagai suatu bentuk sumbangan berterusan dalam mendidik masyarakat untuk menghayati seni.

"Setiap kerja yang dilakukan hendaklah lahir daripada keikhlasan sejati yang diterjemahkan kepada mereka yang ada di depan mata.

"Bukan laksanakan amanah atau kerja hanya kerana nama atau merasakan diri kita hebat, kerana hakikatnya tiada yang lebih hebat melainkan Allah.

"Pengiktirafan ini sebagai satu kejayaan dan USIM satu-satunya universiti yang menghargainya," kata Nash yang juga bekas vokalis bagi Kumpulan Step Closer dan Lefthanded.

Terdahulu, Nash menerima Anugerah Sumbangsih daripada Timbalan Naib Canselor USIM (Hal Ehwal Pelajar dan Ulumni), Prof Datuk Dr Adnan Mohamed Yusoff.

Yang turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani serta ketua-ketua jabatan universiti berkenaan.

Nash tidak menghampakan hadirin pada majlis apabila menyampaikan dua lagu popular, Zahir Tak Terucap dan Ku Di Halaman Rindu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 12:22 PM