TENGKU Razaleigh (tengah) bersama  penyokong hadir di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Tanah Dan Jajahan Gua Musang sempena penamaan calon PRU-15. FOTO Bernama.
TENGKU Razaleigh (tengah) bersama penyokong hadir di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Tanah Dan Jajahan Gua Musang sempena penamaan calon PRU-15. FOTO Bernama.
BERNAMA
Image

Gua Musang: Ahli Parlimen paling lama dari Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah, melakar sejarah tersendiri apabila bertanding buat kali ke-13 untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata khidmatnya masih diperlukan di Parlimen Gua Musang, terutamanya daripada masyarakat Orang Asli yang menginginkannya kekal bertanding.

"Pada PRU-15 kali ini, saya akan berdepan dengan tiga calon lawan daripada Pas, Pejuang dan PKR, tetapi kita tidak gentar dan sedaya upaya untuk lawan dan pertahankan parlimen Gua Musang.

"Saya berikrar akan terus memastikan kebajikan rakyat dan memajukan kawasan ini," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, di sini hari ini.

Terdahulu, Tengku Razaleigh diarak lebih 2,000 penyokong BN termasuk masyarakat Orang Asli, di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah Dan Jajahan Gua Musang.

Untuk rekod, Tengku Razaleigh mula bertanding di Parlimen Ulu Kelantan (sekarang dikenali Parlimen Gua Musang) pada tahun 1974, adalah wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu selama 12 penggal di peringkat Parlimen.

Pada PRU-14, Tengku Razaleigh memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,913 undi menewaskan pencabarnya daripada Pas dan PKR.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 6:45 PM