Paya Linda Yahya


Gua Musang: Memegang rekod paling lama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 12 penggal dan menjadi calon Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) bukanlah satu kemegahan buat Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebaliknya penyandang Parlimen Gua Musang itu berkata, keputusan itu membuktikan rakyat di daerah ini masih memerlukan kepimpinan beliau untuk penggal seterusnya.

Tengku Razaleigh berkata, beliau menerima keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi Umno untuk terus menerajui Parlimen Gua Musang.

"Ya lah saya yang lama dalam rekod, tapi bukanlah kemegahan, cuma membayangkan rakyat di sini masih perlu kepada saya. Saya dikehendaki bertanding semula terutama Orang Asli, berkali-kali datang minta saya supaya jangan tarik diri jika ditawar untuk bertanding.

"Saya sendiri dah lama sangat dan patut beri jalan ke orang lain. Barangkali ini adalah usaha yang terakhir saya," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring Piala Kuli, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau tidak menafikan terdapat pelapis dalam kalangan pemimpin di daerah ini.

Katanya, beliau menasihatkan pemimpin yang akan datang untuk mengutamakan kestabilan dan kebajikan rakyat di negeri ini.

"Mesti ada (pelapis). Kita tak mahu saya berundur keadaan kucar-kacir.

"Kita mahu teruskan kestabilan dan saya nak ingatkan orang yang ada di Gua Musang ini, mereka kena utamakan kepentingan rakyat daripada segalanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 2:31 PM