Nurul Hidayah Bahaudin

Sungai Buloh: Pemberian PerantiSiswa dapat membantu mengurangkan bebanan penuntut yang bergantung kepada nota fizikal kepada penggunaan nota secara digital.

Pelajar Tahun 1 Fakulti Pergigian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh Mohd Azhar Azumat, 19, berkata, sebelum ini, dia banyak bergantung kepada nota fizikal dalam sesi pembelajaran.

"Sebelum ini, saya cetak semua nota yang diberikan oleh pensyarah dengan lebih 200 nota yang perlu dicetak.

"Dengan adanya peranti ini, saya tidak lagi perlu cetak nota dan boleh akses nota pada bila-bila masa," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Peranti Siswa di UiTM Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, peranti itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembelajarannya memandangkan dia tidak pernah memiliki alat berkenaan sebelum ini.

"Saya memang tidak pernah ada peranti lain selain telefon bimbit. Jadi, saya memang tidak akan jual peranti ini seperti yang dilakukan segelintir individu.

"Bagi saya, individu yang menjual peranti ini adalah mereka yang tidak layak menerima bantuan dan lebih baik mereka menolaknya (bantuan pemberian peranti) supaya ia boleh diberikan kepada orang lain yang memerlukan," katanya.

KHAIRY Jamaludin beramah mesra bersama pelajar yang menerima bantuan peranti siswa Keluarga Malaysia di UITM Sungai Buloh. FOTO Hazreen Mohamad
KHAIRY Jamaludin beramah mesra bersama pelajar yang menerima bantuan peranti siswa Keluarga Malaysia di UITM Sungai Buloh. FOTO Hazreen Mohamad

Sementara itu, Pelajar Tahun 1 Fakulti Perubatan di universiti sama, Nur Zalikha Hanim Asmada, 19, berkata, sebelum ini, dia menggunakan komputer riba dan telefon bimbit dalam sesi pembelajaran.

"Sebagai pelajar perubatan, saya rasa penggunaan komputer riba kurang efisyen untuk menyalin nota kerana ada banyak nota.

"Apabila saya terpilih menerima bantuan ini, saya rasa gembira kerana ada peranti yang boleh memudahkan sesi pembelajaran," katanya.

Katanya, pemberian peranti itu membantu menjimatkan wang yang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain sebagai penuntut.

"Setiap pelajar memerlukan banyak wang untuk bayar yuran, makanan dan lain-lain. Apabila ada wang diperlukan, perbelanjaan lain termasuk untuk alat digital menjadi terhad.

"Jadi apabila dapat peranti ini, saya boleh gunakan wang untuk perbelanjaan keperluan lain," katanya.

Kedua-dua penuntut berkenaan adalah antara 15 penerima peranti siswa bagi Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian di universiti berkenaan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 6:45 PM