SERAMAI 23 pelajar UiTM Arau, Perlis menaiki bot ke sekolah terbabit
SERAMAI 23 pelajar UiTM Arau, Perlis menaiki bot ke sekolah terbabit
SEBAHAGIAN aktiviti kognitif peserta kepada pelajar sekolah.
SEBAHAGIAN aktiviti kognitif peserta kepada pelajar sekolah.
PEMBENTANGAN hasil kreativiti dalam kumpulan.
PEMBENTANGAN hasil kreativiti dalam kumpulan.
PROGRAM Jaringan Industri dan Komuniti pelajar UiTM, Arau, Perlis ke  SMU Saadatul Qura, Kampung Bahagia, Kuala Krai, yang teruk dilanda banjir baru-baru ini.
PROGRAM Jaringan Industri dan Komuniti pelajar UiTM, Arau, Perlis ke SMU Saadatul Qura, Kampung Bahagia, Kuala Krai, yang teruk dilanda banjir baru-baru ini.
D J Dolasoh

Iltizam tinggi mendorong 23 siswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis dan tujuh pensyarah mengharungi perjalanan melalui bot selama 45 minit di Sungai Kelantan dari Tangga Krai ke Kampung Bahagia, Kuala Krai, Kelantan bagi membantu meningkatkan prestasi pembelajaran pelajar kawasan pedalaman itu, baru-baru ini.

Program Jaringan Industri dan Komuniti ‘From knowing to being’, Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Arau selama tiga hari itu menekankan aspek motivasi dan tunjuk cara melalui kognitif kepada 105 pelajar tingkatan 1 hingga 5 Sekolah Menengah (SM) Agama Sadatul Qura, Kampung Bahagia.

Pengarah program Harith Qaedi Abdul Jamel, 23, berkata, mereka teruja memilih sekolah itu kerana bukan saja ia jauh di pedalaman tetapi pernah dikejutkan dengan bencana banjir besar pada tahun 2014 yang melenyapkan hampir keseluruhan kampung sehingga menenggelamkan tingkat dua sekolah itu.

“Kejadian ini menyebabkan pelajar dan sebahagian ibu bapa terkesan hingga menjejaskan emosi dan menjejaskan pembelajaran.

“Justeru, aspek kognitif berorientasi pada kemampuan berfikir yang mencakupi kemampuan intelektual dan motivasi mereka perlu dicambah agar ia kembali subur dan cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Harith Qaedi berkata, program itu lebih memfokuskan kepada aktiviti kemasyarakatan, motivasi, ceramah pembelajaran dan kerjaya bukan saja kepada pelajar tetapi juga ibu bapa selain sedikit sumbangan.

Menurutnya, amalan kognitif yang digunakan ialah pengetahuan dan hafalan, pemahaman, penerapan, analisis, sintesis dan penilaian atau penghargaan selain aktiviti dalam kumpulan bagi meningkatkan semula aras pemikiran pelajar sekolah terbabit.

Menurutnya, program julung kali ini adalah kesinambungan daripada lawatan mereka pada akhir Mac lalu dalam misi bantuan kepada mangsa banjir kampung itu.

“Kami turut mengadakan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan sama ada dalam bentuk kumpulan atau individu.

“Pelajar terbabit akan mengadakan lawatan sambil belajar ke UiTM Arau pertengahan Ogos ini sebagai kesinambungan dan memantapkan program jaringan ini,” katanya.

Program mendapat kerjasama Ketua Projek Dr Sarina Muhamad Noor, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan Perniagaan Dr Ahmad Nizan Mat Noor, UiTM Arau dan Pengetua sekolah itu Zakri Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:00 AM