Sudirman Mohd Tahir

Sungai Buloh: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan belum menerima notis saman daripada mangsa dan waris mangsa Covid-19 yang meninggal dunia.

"Kalau saya sudah terima notis saman itu saya kena minta peguam yang saya akan lantik untuk menjawab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi Sidang Media Menteri Kesihatan Berhubung Status Terkini Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, di sini, pada pagi, hari ini.

Terdahulu, seramai 44 mangsa termasuk 14 waris mangsa yang meninggal dunia memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta tiga pengeluar vaksin Covid-19 termasuk Pfizer Malaysia Sdn Bhd, Astrazeneca Sdn Bhd dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan menerusi sidang media yang diadakan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kondominium Villa Puteri, Kuala Lumpur, semalam.

KHAIRY Jamaluddin hadir pada sidang media berkaitan pengurusan Covid 19 menjelang hari mengundi, di bilik Media Hospital Sungai Buloh. FOTO Hazreen Mohamad
KHAIRY Jamaluddin hadir pada sidang media berkaitan pengurusan Covid 19 menjelang hari mengundi, di bilik Media Hospital Sungai Buloh. FOTO Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 1:08 PM