AHLI DENSA yang sukarela menyertai aktiviti Gotong-Royong Perdana turut melukis mural di koridor bilik darjah yang bertemakan kesihatan.
AHLI DENSA yang sukarela menyertai aktiviti Gotong-Royong Perdana turut melukis mural di koridor bilik darjah yang bertemakan kesihatan.
TURUT berkunjung ke Universiti Andalas bagi berkongsi idea dan rangkaian bersama Fakulti Pergigian di universiti berkenaan ketika kunjungan ke Padang, Indonesia.
TURUT berkunjung ke Universiti Andalas bagi berkongsi idea dan rangkaian bersama Fakulti Pergigian di universiti berkenaan ketika kunjungan ke Padang, Indonesia.
PELAJAR Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak diajar mengenai penjagaan kesihatan oral mengikut keperluan dan cara bersesuaian.
PELAJAR Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak diajar mengenai penjagaan kesihatan oral mengikut keperluan dan cara bersesuaian.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Selain menumpukan perhatian terhadap pengajian, bakal doktor gigi dari Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh turut aktif membabitkan diri dalam aktiviti kokurikulum.

Penuntut fakulti berkenaan menyertai pelbagai program dan aktiviti kelolaan Dental’s Student Association (DENSA) bagi melahirkan bakal graduan yang seimbang iaitu cemerlang akademik dan kemahiran insaniah.

DENSA yang ditubuhkan pada 2016 itu mewajibkan keahlian bagi semua penuntut Fakulti Pergigian dan mendapat sokongan kewangan daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan fakulti sendiri.

Penggal ini, DENSA diterajui presidennya iaitu pelajar tahun empat Muhammad Aiman Zairudin dan dibimbing penasihat yang juga pensyarah fakulti berkenaan Norhayati Liaqat Ali Khan.

Menurut Muhammad Aiman, pelbagai program dan aktiviti dianjurkan persatuan itu seperti akademik, kerohanian, keusahawanan, sosial, sukan dan khidmat masyarakat.

Program terbaru anjuran DENSA adalah khidmat masyarakat di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak pada Februari lalu.

“Program diberi nama ‘Hold My Hand’ itu membabitkan penyertaan 165 penuntut Fakulti Pergigian dan 127 pelajar sekolah.

“Selain mengadakan aktiviti riadah seperti senam robik, penuntut yang menyertai program berkenaan turut berpeluang mendekati golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Program diadakan itu turut mewujudkan sinergi dalam kalangan anak muda dan masyarakat dengan memberi peluang kepada siswa mendampingi masyarakat kurang bernasib baik.

Kata Muhammad Aiman, DENSA turut mendorong ahlinya mendekati masyarakat setempat seperti menjalankan kerja gotong-royong di institusi terdekat.

Awal Februari lalu, DENSA mengajak ahlinya menjayakan Gotong-Royong Perdana di Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh.

“Dua tugas utama dikendalikan ahli DENSA yang turut disertai penasihat dan ahli jawatankuasa pada hari berkenaan adalah melukis mural dan mengubah suai Taman Sains.

“Hasil nukilan kreatif lukisan mural dilukis dengan tema kesihatan itu bukan saja mencantikkan dinding koridor bilik darjah malah turut berinformasi.

“Kami turut mewujudkan sudut pokok herba di dalam Taman Sains bertujuan memperkenalkan tanaman herba kepada murid sekolah ini,” katanya.

DENSA tidak melupakan golongan kurang berkemampuan dengan menganjurkan Free Market @ Dental UiTM dengan kerjasama #KakiVolunteer dan #FreeMarket.

Program dianjurkan pada 8 Oktober tahun lalu di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh itu mendapat sambutan baik dengan pelbagai aktiviti sampingan sepanjang hari.

“Selain menyalurkan barangan keperluan secara percuma, kami turut membuat pemeriksaan gigi, mata dan kesihatan yang juga percuma kepada pengunjung.

“Kami turut anjurkan pertandingan mewarna, sesi ceramah dan persembahan nasyid bagi memeriahkan lagi program berkenaan.

“Sambutan yang diterima melebihi jangkaan dan kami dalam perancangan untuk menganjurkan Free Market lagi pada tahun ini,” katanya.

Menariknya, program dikendalikan DENSA tidak hanya tertumpu dalam negara saja malah turut ke peringkat antarabangsa.

Terbaru, 19 penuntut Fakulti Pergigian Sungai Buloh menjalankan program tanggungjawab sosial ke Panti Asuhan Yatim Pendidikan Guru Agama Islam di Padang, Indonesia.

Program dengan usaha sama Fakulti Pergigian di Universiti Andalas itu bukan saja mendorong penuntut terpilih menjalankan aktiviti kemasyarakatan tapi pada masa yang sama berkongsi idea dan rangkaian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 3:13 AM