MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Asyraf Hamzah
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Manusia merancang tetapi Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Terima kasih kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) atas kepercayaan yang diberikan.

"Saya terima amanah yang diberikan ini dengan rasa syukur dan rendah hati dan saya berjanji sekiranya terpilih saya akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen sebaik mungkin dan sepenuh hati untuk rakyat."

Itu kata calon BN bagi Parlimen Kuala Selangor yang juga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menerusi Facebook (FB) malam ini.

Menerusi catatan itu, Tengku Zafrul mengucapkan kesyukuran kerana mendapat peluang dan komited untuk mendengar keluhan rakyat, hayati segala keresahan dan kekangan.

"...dan jika Kuala Selangor memilih saya, Insya-Allah saya akan sedaya upaya selesaikan permasalahan penduduk agar kualiti hidup dan sosio ekonomi Kuala Selangor ditingkatkan lagi demi kemakmuran dan kesejahteraan penduduk di situ," katanya.

Beliau adalah antara calon baharu yang tersenarai untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang diumumkan Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam ini.

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dilihat berlapang dada walaupun namanya digugurkan sebagai calon.

"Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) serentak mengumumkan senarai calon PRU-15 masing-masing malam ini.

"BN menyenaraikan calon pilihan Presiden Umno. Sudah tentulah segala kepandaian dan kebijaksanaan telah dikerah untuk memilih calon terbaik yang diyakini akan membawa kemenangan kepada BN

"Saya mengucapkan selamat bertanding kepada semua mereka yang telah terpilih menjadi calon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 12:15 AM