BAS persiaran terbakar di KM) 388.2 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO ihsan Bomba
BAS persiaran terbakar di KM) 388.2 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO ihsan Bomba
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Seramai 31 penumpang termasuk pemandu berdepan detik cemas apabila bas persiaran terbakar di Kilometer 388.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, berdekatan Tanjung Malam malam tadi.

Difahamkan, ketika kejadian bas persiaran terbabit dalam perjalanan dari Ipoh ke Rawang, Selangor.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian terbabit kira-kira jam 10.18 malam.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dibantu oleh BBP Slim River dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tiba di tempat kejadian, mendapati sebuah bas sedang terbakar dan semua penumpang termasuk pemandu bas selamat.

"Anggota bomba menggunakan satu aliran air daripada jentera untuk mengawal dan memadam kebakaran terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bas terbabit musnah kira-kira 80 peratus akibat kejadian terbabit dan operasi tamat pada jam 11.39 malam.

#kw bas, persiaran, terbakar, penumpang, pemandu, selamat, lebuh raya, PLUS, Tanjung Malim

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 12:56 PM