Tindakan seorang pemandu kereta mengundur kenderaannya secara mendadak dan merempuh bas persiaran sehingga videonya tular di laman dalam kejadian di Plaza Tol Tanjung Malim, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Tindakan seorang pemandu kereta mengundur kenderaannya secara mendadak dan merempuh bas persiaran sehingga videonya tular di laman dalam kejadian di Plaza Tol Tanjung Malim, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Tindakan pelik seorang pemandu kereta mengundur kereta secara mendadak dan merempuh bas persiaran mengundang tanda tanya.

Kejadian itu mencetuskan pelbagai reaksi nitizen selepas video itu tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, insiden itu berlaku di Plaza Tol Tanjung Malim kira-kira jam 7.12 malam.

Menurutnya, pemandu kereta Proton Saga itu dipercayai sedang membayar tol sebelum masuk ke dalam kereta dan mengundur mendadak.

"Akibatnya kereta itu merempuh bas di belakangnya. Bagaimanapun kereta itu bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

"Polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 57 tahun yang juga pemandu bas persiaran. Kes disiasat oleh Unit Siasatan Lebuh Raya," katanya semalam.

Menurutnya, usaha mengesan pemandu lelaki kereta itu masih diteruskan pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 4:07 PM