ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah bengkel di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Mutiara Rini, Skudai malam tadi. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah bengkel di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Mutiara Rini, Skudai malam tadi. FOTO ihsan bomba
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Pemilik bengkel membaiki kenderaan maut selepas bengkel di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Mutiara Rini, Skudai, di sini, terbakar malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, letupan menyebabkan lelaki berusia 41 tahun melecur dan meninggal dunia di lokasi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Mohd Faiz Suleiman berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran bengkel pada jam 9.13 malam.

"Ketika kejadian, berlaku letupan dan mengakibatkan kerosakan pada cermin tingkap tiga rumah yang berada pada jarak kira-kira 30 meter dari bengkel kerana gegaran," katanya.

Beliau berkata, kesan letupan itu juga mengakibatkan dua mangsa melecur yang mana pemilik bengkel dilaporkan maut dan manakala pekerjanya dilaporkan patah kaki.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital berhampiran oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, bengkel sedang beroperasi dan kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja kimpalan.

Beliau berkata, dua lori terbakar dan sebuah lagi rosak akibat kesan letupan yang mana ketiga-tiganya milik pelanggan.

Mohd Faiz berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 11.39 malam.

"Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Arifin berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 12:38 PM