KETUA Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman  Aziz Mohammed merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik menerajui badan antarabangsa ISSA sebagai Presiden ISSA ke-17 untuk tempoh 3 tahun (2023-2025).
KETUA Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik menerajui badan antarabangsa ISSA sebagai Presiden ISSA ke-17 untuk tempoh 3 tahun (2023-2025).

Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa dalam aspek perlindungan keselamatan sosial pada Persidangan Agung International Social Security Association (ISSA) dalam Forum Keselamatan Sosial Dunia (World Social Security Forum, WSSF) 2022 yang diadakan di Maghribi pada 23 hingga 28 Oktober lalu.

Pada persidangan tersebut, Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed telah dipilih sebagai Presiden ISSA yang ke-17 untuk tempoh selama tiga tahun bermula 2023 sehingga 2025.

Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan tertinggi itu dalam badan antarabangsa yang menerajui bidang keselamatan sosial di peringkat global. "Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli badan antarabangsa ISSA kepada saya untuk menjawat jawatan Presiden yang ke-17.

"Bagi saya, pemilihan ini kejayaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan semua warga Perkeso kerana ia melonjakkan lagi kedudukan Malaysia di mata masyarakat antarabangsa," katanya.

"Menerusi ISSA, saya akan terus memberikan komitmen terbaik untuk meningkatkan sistem perlindungan keselamatan sosial agar setiap ahli melaksanakan perlindungan yang komprehensif dan inklusif di negara masing-masing demi kesejahteraan sejagat," katanya.

Sebelum pemilihan ini, Mohammed Azman pernah menerima pengiktirafan antarabangsa iaitu Frances Perkins Award 2020 yang dianugerahi oleh International Association of Industrial Accident Boards and Commissions (IAIABC) yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang mana beliau merupakan antara ahli lembaga pengarah organisasi berkenaan dan orang Asia pertama menerima anugerah itu.

Selain itu, beliau turut menjawat jawatan sebagai Presiden Asean Workers Compensation Association' (AWCA), Ahli Lembaga Pengarah Asean Social Security Association (ASSA) dan Ahli Majlis Vision Zero Global Alliance.

Dengan mandat pemilihan beliau sebagai Presiden ISSA itu diharapkan agenda keselamatan sosial di Malaysia akan terus diperkukuh dan dikembangkan lagi demi kesejahteraan golongan sasar serta peningkatan tahap profesionalisme para pengamal keselamatan sosial di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 10:33 AM