DATUK Awang Hashim (dua dari kiri) diiringi  Datuk Seri Dr Mohammed Azman beramah mesra dengan peserta seminar di Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
DATUK Awang Hashim (dua dari kiri) diiringi Datuk Seri Dr Mohammed Azman beramah mesra dengan peserta seminar di Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan kakitangan kontrak sebuah jabatan kerajaan berjumlah lebih RM32 juta bukan hutang, tetapi bayaran undur tarikh atau 'backdated'.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, keadaan itu dikesan selepas semua kakitangan awam kontrak wajib didaftar dan dicarumkan dengan Perkeso bermula 1 Jun 2013.

Menurutnya, jumlah itu tidak dibayar sejak tempoh wajib kuat kuasa peraturan terbabit berikutan ada kakitangan yang lambat didaftarkan.

"Berlaku salah faham (berhubung bayaran RM32 juta) iaitu sepatutnya bermula 2013 majikan perlu membayar caruman, tetapi ada yang belum mendaftar.

"Apabila caruman dibuat sekarang tempoh matang adalah tidak mencukupi untuk pembayaran (pampasan) kerana ia memerlukan sekurang-kurangnya masa dua tahun atau 24 bulan minimum untuk cukup tempoh matang.

"Ia bukan bermaksud (jabatan) kerajaan berhutang, tetapi 'backdated' itu terjadi kerana keprihatinan Perkeso untuk memberi perlindungan kepada pekerja kontrak yang ditimpa musibah," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan Seminar 'Asian Workers' Compensation Association (AWCA) Technical on Navigating Social Security and Wellbeing Post Covid-19 in Asia', di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohamed merangkap Presiden AWCA.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa lebih RM32 juta tunggakan caruman Perkeso kakitangan kontrak sebuah jabatan kerajaan masih tidak dijelaskan sejak 2013 sehingga kini.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat dilaporkan berkata, pihaknya menggesa jabatan kerajaan persekutuan dan negeri termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendaftar serta membayar caruman Perkeso bagi kakitangan kontrak mulai tarikh kuat kuasa 1 Jun 2013 sekiranya masih belum berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 2:22 PM