MOHAMED Azman (dua kiri) bertukar dokumen dengan Md Silmi di majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi antara Perkeso dan Teraju. FOTO Fathil Asri
MOHAMED Azman (dua kiri) bertukar dokumen dengan Md Silmi di majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi antara Perkeso dan Teraju. FOTO Fathil Asri
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), hari ini, menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) untuk memastikan usahawan Bumiputera dilindungi dengan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, wujud keperluan tinggi untuk memastikan perlindungan itu terutama selepas dua tahun tempoh mencabar seperti Covid-19.

Beliau berkata, penularan pandemik itu menyebabkan ramai usahawan yang terpaksa gulung tikar, bahkan ramai juga yang hilang punca pendapatan..

"Impak sosio-ekonomi akibat penularan pandemik Covid-19 sesungguhnya membuka mata kita, betapa perlindungan sosial di Malaysia masih berada di tahap yang minimum berbanding di negara maju.

"Sehubungan itu, sebagai peneraju dalam perlindungan sosial di negara ini, kami komited untuk memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia termasuklah golongan usahawan Bumiputera di bawah Teraju dapat dilindungi dengan skim perlindungan dan program di bawah Perkeso," katanya dalam ucapan pada majlis MoC berkenaan di Menara Perkeso, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Md Silmi Abd Rahman, Pengarah Penciptaan Kekayaan, Modal Insan dan Penyampaian Perkhidmatan Teraju, Mohd Najib Jaafar, Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, John Riba Marin serta Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi Perkeso, Ismail Abi Hashim.

Mohammed Azman berkata, termeterainya MoC itu akan mengukuhkan lagi kerjasama strategik khususnya antara Perkeso dan Teraju untuk manfaat Keluarga Malaysia.

"Tidak dinafikan, peranan yang dimainkan oleh Teraju untuk memacu penyertaan Bumiputera dalam industri strategik yang berimpak tinggi adalah sangat penting untuk pembangunan ekonomi dan sosial negara.

"Dengan peningkatan penguasaan usahawan Bumiputera dalam ekonomi negara, ia dapat membantu merealisasikan visi Keluarga Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berstatus maju dan berpendapatan tinggi yang secara langsung mewujudkan keperluan tinggi bagi melindungi usahawan Bumiputera ini dengan jaringan sosial komprehensif," katanya.

Beliau berkata, pemeteraian kolaborasi pada hari ini menyaksikan Perkeso dan Teraju bekerjasama dalam beberapa bidang termasuklah menerusi pelaksanaan Program Social Synergy.

Menurutnya, program itu adalah antara inisiatif Perkeso bagi membantu menyelesaikan permasalahan sosio-ekonomi dan isu kebajikan rakyat Malaysia dengan bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak.

"Sehingga kini, terdapat lebih 300 rakan strategik menyertai gagasan Social Synergy. Mereka terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat.

"Alhamdulillah, hampir 13,000 kes membabitkan individu yang memerlukan bantuan telah disalurkan kepada agensi yang bernaung di bawah program ini di bawah platform perkongsian data Sistem MySynergy, sejak 2019," katanya.

Justeru, katanya, pihak Perkeso percaya penyertaan Teraju sebagai rakan strategik dalam Program Social Synergy akan memberikan nilai tambah dan memperkukuh lagi jaringan keselamatan sosial di Malaysia.

"Kerjasama yang terjalin ini juga secara tidak langsung memberi pendedahan dan melatih anggota Teraju untuk menjadi 'social security practitioners'.

"Pengetahuan dan kebolehan yang diperoleh bukan saja merangkumi aspek perlindungan sosial, malah turut meliputi aspek kebajikan, pekerjaan, kewangan, perniagaan dan sebagainya," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Perkeso juga berhasrat membantu mana-mana usahawan Bumiputera yang layak di bawah Teraju menyertai pelbagai program Perkeso di bawah Bajet 2022, seperti Program Jamin Kerja, Insentif Penggajian dan SPS Padanan Caruman.

"Bukan itu saja, kerjasama ini akan saling melengkapi kekuatan yang ada pada kedua-dua pihak. Ia merangkumi bidang-bidang lain seperti perkongsian data, potensi perluasan jaringan sosial Perkeso di bawah ketiga-tiga akta yang ditadbir, intervensi pasaran buruh dan lain-lain perkara bermanfaat dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 11:55 AM