HAMZAH, gambar fail. FOTO Bernama
HAMZAH, gambar fail. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menetapkan jawatan presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti Oktober ini, kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan semalam, selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November lalu yang sebulat suara memutuskan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai presiden parti bagi pemilihan akan datang.

Katanya, Bersatu juga kekal mengikut Perlembagaan Parti bagi mempertandingkan jawatan-jawatan lain dan calon yang berhasrat untuk bertanding perlu mengemukakan permohonan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi selaras dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu.

"Mesyuarat turut memutuskan tarikh persidangan peringkat cawangan pada 20 Julai hingga 31 Ogos ini dan peringkat Bahagian pada 12 hingga 26 Oktober.

"Sementara itu, Perhimpunan Agung Sayap Bersekutu dan Srikandi Muda (28 November), Perhimpunan Agung Sayap Armada dan Srikandi (29 November) dan Perhimpunan Agung Tahunan (30 November hingga 1 Disember)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Hazmah berkata, Bersatu turut melantik Datuk Dr Radzi Jidin serta Abdullah Omar Bledram sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Putrajaya dan Ketua Bahagian (Penaja) Labuan yang baharu.

Pada masa sama beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan status tujuh bekas wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan setiausaha agung parti diarah membuat tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 11:25 PM