TINJAUAN di Jalan Enggang Taman Keramat mendapati bendera parti yang bertanding dalam Pilihanraya Umum ke 15 sudah mula dipasang walaupun penamaan calon belum diumumkan.  FOTO Fathil Asri
TINJAUAN di Jalan Enggang Taman Keramat mendapati bendera parti yang bertanding dalam Pilihanraya Umum ke 15 sudah mula dipasang walaupun penamaan calon belum diumumkan. FOTO Fathil Asri
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon parti yang akan bertanding apada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) malam ini.

Kedua-dua parti itu dijangka mengumumkan calon mereka secara serentak dari dua lokasi berlainan di ibu negara.

BN akan mengumumkan calon mereka dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sementara PN pula di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Majlis pengumuman calon kedua-dua parti itu juga akan disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook Live parti masing-masing.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan komitmen gabungan itu untuk menampilkan 70 peratus calon muka baharu pada PRU-15.

Pertaruhan itu sekali gus menyaksikan ada pemimpin yang dijangka digugurkan, dengan beberapa nama kini hampir pasti tidak akan dinamakan semula untuk bertanding.

Mereka termasuk penyandang Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, penyandang Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kasim serta penyandang Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Sementara PN, setakat ini sudah menamakan tiga calonnya yang akan bertanding iaitu Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin di Parlimen Putrajaya, Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Harun di Parlimen Sepang serta timbalannya Datuk Mas Ermieyati Samsuddin di Parlimen Masjid Tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 11:53 AM