MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Syifa malam ini. FOTO Ihsan APM
MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Syifa malam ini. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Langkawi: Satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Syifa, di sini malam ini yang menempatkan 37 orang daripada 10 keluarga dari Kampung Atas, Mukim Padang Mat Sirat yang terjejas akibat banjir.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata, PPS itu dibuka sekitar jam 8 malam tadi untuk menempatkan kesemua mangsa banjir berkenaan.

Menurutnya, hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan air mula naik dan memasuki rumah penduduk kampung berkenaan sekitar jam 6 petang tadi.

"Selain itu beberapa kawasan di beberapa mukim di daerah ini yang terjejas dengan banjir termasuklah Mukim Ayer Hangat dan Kuah namun setakat ini tiada PPS dibuka di mukim berkenaan berikutan air sudah surut sepenuhnya.

"Ketika ini, keadaan cuaca di Langkawi masih hujan lebat dan angin kencang dan pemantauan masih dilakukan di kawasan yang berpotensi banjir.

"Malah kerja-kerja pembersihan juga sedang dijalankan selain pemantauan paras air di sungai utama di pulau ini," katanya di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 9:56 PM