ANGGOTA APM Sik melakukan operasi menyelamat mangsa banjir untuk dibawa ke PPS. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Sik melakukan operasi menyelamat mangsa banjir untuk dibawa ke PPS. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini, malam ini yang menempatkan 67 mangsa dari 11 keluarga yang terjejas akibat banjir.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, lima mangsa dari sebuah keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chepir, manakala PPS Markas Pas Tanjung Belit menempatkan seramai 62 mangsa daripada 10 keluarga.

"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sik turut menerima maklumat berhubung mangsa yang terperangkap di Kampung Titi Semang dan operasi menyelamat sedang dilakukan.

"Antara kampung yang terjejas dalam kejadian banjir kilat ini adalah Kampung Banggol Kiat, Taman Derdap, Kampung Jerai dan Kampung Belimbing di Mukim Sik manakala di Mukim Sok pula membabitkan Kampung Pinang dan Surau.

"Turut terjejas Kampung Titi Semang di Mukim Tekong," katanya dalam kenyataan malam ini.

Haisul Aishah berkata, banjir kilat berlaku berikutan hujan lebat yang melanda hampir seluruh kawasan di daerah ini.

Beliau berkata, air mula naik bermula jam 6.20 petang selepas hujan lebat mulai 4 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 11:12 PM