Anggota APM Langkawi melakukan kerja pembersihan pasca banjir di Pasar Awam Padang Matsirat, Langkawi. FOTO IHSAN APM
Anggota APM Langkawi melakukan kerja pembersihan pasca banjir di Pasar Awam Padang Matsirat, Langkawi. FOTO IHSAN APM
Hamzah Osman


Langkawi: Jumlah mangsa banjir di daerah ini meningkat kepada 49 orang setakat jam 5 petang ini, berbanding semalam.

Mangsa terbaharu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Syifa Padang Matsirat membabitkan enam sekeluarga dari Kampung Bukit Kemboja, Mukim Bohor di sini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapt (PA) Ahmad Shahfikri Darus, berkata setakat ini empat kampung yang terjejas akibat banjir di daerah ini.

"Mangsa dari Kampung Atas dan Limbung Putra dalam Mukim Padang Matsirat serta Kampung Buluh Penyumpit,Mukim Kuah ditempatkan di PPS sejak malam kelmarin.

"Terbaharu, kita pindahkan enam sekeluarga dari Kampung Bukit Kemboja, Mukim Bohor ke PPS sama," katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shahfikri berkata, seramai 15 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi menjalankan kerja pembersihan pasca banjir di Pasar Awam Padang Matsirat, pagi tadi.

"APM Langkawi sentiasa prihatin terhadap nasib penduduk yang terkesan akibat bencana ini, malah sedaya upaya berusaha membantu mereka.

"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di talian 04-9611474 sentiasa beroperasi untuk menerima panggilan kecemasan berkaitan rumah dinaiki air, pokok tumbang dan tanah runtuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 5:33 PM