KEADAAN kereta yang dipandu Apeh Jamal selepas terbabit kemalangan. FOTO viral
KEADAAN kereta yang dipandu Apeh Jamal selepas terbabit kemalangan. FOTO viral
Faizul Azlan Razak


Setiu: Kerajaan Terengganu akan meneliti laporan penuh daripada pihak penganjur berhubung tragedi yang berlaku dalam Perlumbaan Battle of The King (BOTK) 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, semalam.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, laporan penuh itu mungkin akan diterima daripada pihak penganjur, MUSC Motosport hari ini.

Menurutnya, sebarang tindakan selanjutnya akan dibuat selepas melihat laporan yang diberikan penganjur kerana kejadian seumpama itu adalah pertama kali berlaku.

"Saya mewakili Kerajaan Terengganu mengucapkan takziah kepada keluarga pelumba dan peristiwa yang berlaku semalam sudah pasti ia sesuatu yang kita kesalkan.

"Pagi tadi saya dihubungi pihak penganjur dan barangkali mereka mahu menyerahkan laporan berhubung kejadian itu dan saya akan umumkan apa tindakan selanjutnya selepas meneliti laporan itu nanti," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan Sultan Mizan Cup 2022 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong, di sini, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang. Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Wan Sukairi berkata, pihaknya yakin sebelum perlumbaan itu berlangsung, pihak penganjur sudah mengambil kira semua perkara terutama aspek keselamatan, tapi berlaku juga kejadian tidak diingini.

"Malah, perlumbaan yang dianjurkan ini juga mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan akan membuat penambahbaikan daripada aspek keselamatan litar bagi mengelak kejadian berulang.

"Sebarang penganjuran perlumbaan di litar itu juga akan ditutup sementara bagi membolehkan kerja penambahbaikan dijalankan," katanya.

Semalam, pelumba drag dikenali sebagai Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas.

Mangsa yang berasal dari Perak meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat kecederaan parah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 1:33 PM