VAN yang membawa jenazah Apeh Jamal diiringi kira-kira 100 kenalan arwah memasuki kawasan perkuburan kira-kira jam 9.30 pagi FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
VAN yang membawa jenazah Apeh Jamal diiringi kira-kira 100 kenalan arwah memasuki kawasan perkuburan kira-kira jam 9.30 pagi FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Zaid Salim


Kuala Nerus: Kematian pelumba kereta drag, Apeh Jamal atau Muhamad Hafez Jamal Jamaludin ketika Perlumbaan Battle of The King (BOTK) 2022 di sini, semalam tiada unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din berkata, keputusan bedah siasat dilakukan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) turut mendapati punca kematian akibat kecederaan di kepala dan dada.

"Buat masa ini, siasatan mendapati tiada unsur jenayah yang berlaku dalam kemalangan itu.

"Kes diklasifikasikan mati mengejut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Abd Rahim berkata, kelab disertai Muhamad Hafez, 40, membuat laporan kemalangan itu di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus, pada 3.36 petang semalam.

Katanya, berdasarkan laporan, mangsa yang memandu Mitsubishi Lancer Evo 7 sedang mengambil bahagian dalam acara ujian masa individu, sebelum keretanya dikatakan hilang kawalan dan terbabas.

"Kejadian berlaku pada 11.35 pagi dan penganjur kemudian menghantar mangsa ke HSNZ sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 6:04 PM