WAN Sukairi sahkan litar terbabit selamat untuk digunakan. FOTO Ghazali Kori
WAN Sukairi sahkan litar terbabit selamat untuk digunakan. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri mengesahkan penganjuran sukan permotoran di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus kembali dibenarkan beroperasi serta merta selepas insiden yang meragut nyawa seorang peserta Battle of the Kings (BOTK) minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata hasil pemeriksaan pakar dan laporan penuh diterima mendapati litar berkenaan selamat digunakan dengan memenuhi piawaian dan standard untuk penganjuran sukan permotoran termasuk perlumbaan drag.

Bagaimanapun beliau menjelaskan hanya perlumbaan dalam jarak 200 meter (m) sahaja dibenarkan setakat ini manakala jarak selebihnya akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa.

"Kami sudah menerima laporan penuh daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) berhubung kemalangan yang meragut nyawa seorang peserta dalam perlumbaan drag minggu lalu.

"Dalam laporan itu jelas mencatat kemalangan yang berlaku itu bukanlah disebabkan kerana litar berkenaan, tapi disebabkan kerana masalah teknikal yang berlaku pada jentera (kereta) itu sendiri yang menyebabkan berlakunya kemalangan yang meragut nyawa pemandunya.

"Pihak MSNT juga sudah memanggil Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) yang diwakili Wazi Abdul Hamid untuk membuat pemeriksaan lanjut di litar berkenaan, hasil laporan litar berkenaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

"Maknanya tidak timbul dakwaan sebelum ini yang mengaitkan litar berkenaan beralun, ianya tidak benar sebaliknya litar berkenaan adalah molek dan memenuhi standard dibenarkan, maksudnya jika ada perlumbaan yang mahu diadakan boleh diteruskan, kejohanan terdekat pada Sabtu (esok).

"Bagaimanapun kebenaran penganjuran sebagaimana pengesahan pakar hanya dibuka dengan jarak maksimum sejauh 200m sahaja, manakala selebihnya akan dimaklumkan kemudian," katanya ketika ditemui selepas berakhir Majlis Apresiasi Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu di Taman Tamadun Islam, semalam.

Minggu lalu seorang peserta BOTK, Muhammad Hafez Jamal Jamaluddin atau lebih dikenali Apeh Jamal meninggal dunia selepas kereta jenis Mitsubishi Evolution Lancer yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ketika ujian masa dalam perlumbaan itu.

Mangsa tidak sedarkan diri sebelum pihak penganjur menghantar mangsa dengan ambulans ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu sebelum mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.

Kejadian yang berlaku pada jam 11.35 pagi itu tiada unsur jenayah sebaliknya mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada berpunca kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 2:20 PM