ALLAHYARHAM Muhamad Hafez Jamal Jamaludin yang maut dalam perlumbaan Battle of the King  Battle 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu.
ALLAHYARHAM Muhamad Hafez Jamal Jamaludin yang maut dalam perlumbaan Battle of the King Battle 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu.
Zaid Salim


Kuala Nerus: Kereta pemandu drag yang maut ketika perlumbaan Battle of the King (BOTK) 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak dekat sini, hari ini dipercayai mengalami masalah teknikal dan hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang litar.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, kejadian itu dikatakan berlaku sekitar jam 12 tengah hari.

"Beberapa saat dilepaskan daripada garisan mula, kenderaan itu secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas sebelum terkeluar daripada trek perlumbaan.

"Mangsa dikeluarkan orang awam dari kenderaan sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), namun disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, dari Perak yang memandu kereta Mitsubishi Lancer Evo dikatakan bersendirian melakukan sesi perlumbaan dalam salah satu acara.

Insiden itu menyebabkan siri perlumbaan yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lalu dan dijadualkan tamat esok dibatalkan serta merta oleh pihak penganjur.

Sementara itu, jurucakap penganjur, BOTK 2022 adalah acara tahunan yang diadakan sejak 2006 berjaya menarik penyertaan lebih 200 peserta tempatan dan luar negara termasuk Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam.

"Selain acara membabitkan kereta, kita turut mengadakan acara membabitkan motosikal dan kejadian ini adalah pertama berlaku sejak acara ini diadakan pada 2006," katanya.

Usaha untuk menghubungi penganjur gagal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Kejadian dilaporkan berlaku pada 11.35 pagi membabitkan seorang lelaki berusia 40 tahun.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui punca kejadian," katanya.

Berita berkaitan:

  • Pemandu drag maut ketika perlumbaan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 6:09 PM