KERUSI kosong di blok pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. FOTO Rafiqah Dahali
KERUSI kosong di blok pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, hari ini menyaksikan tempat duduk sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berubah berikutan perkembangan semasa politik di negeri ini.

Ia termasuk tempat duduk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Adun Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Selain itu, dua lagi tempat duduk Adun BN yang sebelum ini menyandang jawatan Menteri dalam kabinet negeri turut berubah iaitu Adun Karambunai Datuk Yakub Khan dan Adun Sukau Datuk Jafry Ariffin.

Ketiga-tiga tempat duduk Adun terbabit dipindahkan di blok pembangkang.

Bagaimanapun, tempat duduk lima Adun BN yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah masih kekal.

Empat daripada mereka iaitu Adun Tanjung Keramat Datuk Shahelmy Yahya; Adun Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob; Adun Sugut Datuk James Ratib dan Adun Pantai Dalit, Datuk Jasnih dilihat hadir, hari ini.

Persidangan khas Dun hari ini untuk membentangkan dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan bekalan gas dan Suruhanjaya Tenaga Sabah oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Bung Moktar dalam kenyataan memaklumkan sebahagian besar Adun BN Sabah tidak hadir dalam sidang khas Dun berikutan perlu menghadiri menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Kuala Lumpur.

Selain itu, dalam kenyataan media berasingan, Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut memaklumkan 19 Adun daripada pihaknya juga tidak hadir dalam sidang khas, hari ini.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin parti berkenaan menyokong penuh RUU terbabit.

Selain itu, tiga Adun dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) iaitu Adun Melalap Datuk Peter Anthony; Adun Limbahau Datuk Juil Nuatim dan Adun Bandau Datuk Wetrom Bahanda juga dilihat tidak hadir dalam sidang Dun.

Dun Sabah mempunyai seramai 79 Adun di mana seramai 73 Adun yang dipilih dan enam orang Adun dilantik.

Serama 43 Adun dilihat hadir dalam persidangan khas Dun, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 1:02 PM